Pages

Friday, June 3, 2011

Pelangi

Selalu saya membaca kata-kata hikmah ini: kadang-kadang Tuhan menyembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberi kita pelangi. Ianya umpama ayat lazim yang digunapakai oleh hampir seluruh peminat/pengumpul mutiara kata dan sastera. Saya sendiri sukakan kata-kata hikmah yang satu ini. Apabila dibaca berulang-ulang, iramanya seakan membelai jiwa. Lalu saya tanam ia kemas-kemas di dasar hati. Tapi sejauh mana saya mengerti dan memahami kata-kata hikmah ini?

Saya tak mungkin akan mengerti jika saya tidak melaluinya. Di saat saya sedih meninggalkan alam pekerjaan tempohari, yang saya terfikir hanya ingin lebih mendekatkan diri pada Tuhan dan lakukan perkara2 yang bisa membuatkan jiwa saya tenang dan terhibur. Saya suka membaca novel, dan saya lakukan ia hampir setiap hari di waktu senggang. Namun kesunyian dari ilai tawa teman-teman sekerja dan riuh-rendah suasana pejabat, tetap juga tidak sepenuhnya terubat. Tentulah sukar untuk saya bebas dari kepungan mereka (teman-teman sekerja) dengan begitu mudah, kerana merekalah insan-insan yang paling dekat dengan saya di kala keharmonian keluarga saya semakin hambar setelah pemergian ibu. Tetapi mereka (teman-teman) juga tak mungkin mampu memahami masalah kerja saya secara total. Ada yang mampu saya luahkan, namun masih banyak juga yang saya telan sendiri. Kesudahannya, saya harus membuat pilihan - terus menelan keperitan atau berhenti dari pekerjaan. Saya lalui juga keputusan yang sukar itu, demi sebuah ketenangan di jiwa.

Dalam saya berkeluh-kesah itu, rupa-rupanya Tuhan ingin menghadiahkan saya sesuatu; bakat penulisan. DIA tidak kejam. Dan DIA juga tidak pernah menganiaya umatnya. DIA ambil sesuatu dari saya, kemudian dia gantikan dengan sesuatu yang lain pula untuk saya, subhanallah. Benar, semua itu datang dari DIA, walaupun tidak seberapa. Walaupun tidak semegah dan sehebat bakat-bakat penulis lain. Tapi anugerah baru itu berjaya membuatkan saya kembali tersenyum. Perit dan getirnya tetap ada, kerana ujian-NYA tak mungkin berhenti di situ. Menulis novel juga bukan perkara mudah, setelah berjaya menghasilkan sebuah novel, kita akan tertanya-tanya pula apa kata orang tentang hasil tulisan kita? dan di saat orang tidak pernah memperkatakan tentang hasil tulisan kita, atau di saat kita terdengar atau terbaca tentang buruk dan celanya hasil tulisan kita diperkatakan secara umum, bagaimanakah rasanya? Tuhan ingin menguji saya lagi :)

Saya tetap manusia biasa, hamba-NYA yang tidak pernah sempurna. Walaupun saya faham akan maksud yang tersirat di sebalik kata-kata hikmah itu, setiap kali hati saya dilanda badai, saya tetap juga merintih dan berkeluh-kesah. Saya masih juga berhiba-hiba. Tapi jauh di sudut hati, saya sentiasa bersyukur. Kerana saya percaya Dia akan terus memberikan sesuatu untuk saya ;)

0 comments: