Pages

Sunday, January 11, 2009

Mertua Maia

Ini sebuah kisah 'hilang manis, sepah dibuang'. Tak tahu kenapa, akhir-akhir ini aku sering dikejutkan dengan cerita pergolakan rumahtangga yang sungguh tidak disangka-sangka. Aku tinggalkan catatan itu di sini. Sebagai ingatan dan sempadan buat diriku sendiri, insyaAllah.

Waktu tu, aku baru aje 'lepas hari'. Jadual tidur Akil pun, masih tak menentu lagi. Selalu berubah-ubah, kejap dia tidur dengan nyenyak, kadang pula dia meragam sepanjang malam. Samalah juga dengan malam tu. Akil asyik nangis je sepanjang malam. Sudahnya, aku mengulit Akil sampai ke pagi.

Esoknya, aku kesiangan. Celik mata pun, sebab abang yang kejutkan. Selalunya, abang tak akan kejutkan aku seawal itu. Abang tahu, aku tak tidur sepanjang malam sebab menguliti anak bongsu kesayangannya, Akil. Tapi pagi tu, abang terpaksa juga kejutkan aku. Ada insiden yang tak disangka-sangka berlalu. Kisah pertelingkahan suami-isteri. Dan kisahnya melarat hingga ke rumah kami.

"Yang, bangunlah! tu, Maia (bukan nama sebenar) tiba-tiba meluru masuk rumah kita kot dapur..."
"Hah?!...pesal?!" tanya aku dengan mata yang masih terpisat-pisat.
"Entahlah, dia kata, dia kena pukul dengan Zam (bukan nama sebenar)!"

Aku tercengang dengar penjelasan abang. Abang memang nampak cemas sangat. Kata abang lagi, Maia minta supaya abang menghantarnya ke Klang, pagi tu juga. Aku ternyata masih bingung. Kepala aku masih berdengung dek saki-baki mimpi yang terputus di tengah jalan. "Okey ke kalau abang hantar dia...?" tanya abang lagi, macam nak minta permission aku pulak.

Hmm...kalau dihitung dari sudut logiknya, memang aku sepatutnya menyuruh, malah menggalakkan abang segera memberi perlindungan atau menghantar Maia ke rumah kakaknya (sebagaimana yang diberitahu) di Klang. Tapi entah kenapa, kepala aku berat sangat nak mengangguk tanda bersetuju. Aku...aku jadi teringat pada satu perkara. Aku tiba-tiba lebih bersimpati dengan nasib ibu mertua Maia itu, berbanding keadaan Maia, yang didakwa telah dipukul oleh suaminya. Kenapa ya?

Aku berjiran dengan mertua Maia sejak aku kecil lagi. Ya, aku kini sedang menggantikan tempat arwah ibu di kawasan tempat tinggalku ini. Semua jiran dan sahabat baik ibu, kini menjadi jiran dan sahabat baik aku pula. Aku telah berjanji pada diriku begitu, sebaik saja ibu meninggal dunia. Aku mahu terus memelihara hubungan baik ibu dengan kawan-kawannya di sini. Makanya, perasaanku jadi bias. Aku berat sebelah. Aku tidak ambil peduli kisah Maia sangat, aku cuma fikirkan perasaan mertua Maia, jiranku itu.

Mertua Maia pernah sekali meluahkan perasaannya padaku. Katanya, dia kini sedang susah hati dengan nasib yang menimpa keluarganya. Anak sudah besar-besar, dan berkeluarga, namun masih juga ada tuntutan dan tanggungjawab yang perlu dibereskan sebagai orang tua. Kata mertua Maia, anak-menantunya tak 'serupa orang'. Kataku, 'tak serupa orang' yang bagaimana?. Mertua Maia cuma geleng kepala. Aku pula tak jadi nak bertanya lanjut. Aku fikir, tentu ada perkara yang terlalu peribadi untuk diceritakan.

Dalam termanggu-manggu mendengar keluh-kesah dan cerita duka Maia tentang rumah tangganya yang sedang porak-peranda itu, tentang kejamnya si Zam menumbuk, menyepak terajang tubuhnya, aku masih sempat menyediakan sarapan pagi dan menguruskan Akil yang sudah terjaga. Menukarkan diapers Akil, dan kemudian memandikannya. Abang memerhatikan saja aku melakukan semua rutin itu dengan riak wajah yang mega-hydro-hyper-ajaib. Apakah isteriku ini sudah hilang deria rasa?? fikirnya, mungkin. Bukankah selama ini, aku sangat mudah emosi tentang perkara-perkara seperti ini?? Apa sudah jadi?!

Ya, aku sedar semua itu. Aku juga berfikiran serupa, sebagaimana suamiku. Cuma kali ini, aku seakan tidak mahu buru-buru bertindak. Aku fikir, aku perlu juga mendengar cerita dari mulut mertua Maia sendiri sebelum turut ikut campur soal keluarganya. Memanglah aku dan suami sudah terjebak. Maklumlah, semua kekalutan itu terjadi DALAM RUMAH KAMI!

Tak lama selepas itu, mertuanya Maia itu pun tiba. Memang tak lama, selesai aja Akil aku dandan, tiba-tiba aku terdengar suara mertua Maia memberi salam. Abang jemput mertua Maia masuk dan duduk di kerusi. Aku tak sampai hati pandang wajah mertua Maia. Aku sedar, tentu dia sedang menanggung malu besar dengan tercetusnya angkara yang tak terduga itu. Tentu dia malu bila dapat tahu Maia sudah ceritakan segala-galanya pada kami. Tentu dia lebih malu bila aku dan suami dapat tahu yang anaknya yang selama ini macam pijak semut tak mati itu rupa-rupanya, kaki pukul.

Setelah lebih kurang bercerita, akhirnya Maia dan mertuanya pulang ke rumah. Aku dengan suami tarik nafas panjang. LEGA. Bukan lega sebab pertikaian anak-beranak itu sudah selesai, sebaliknya lega sebab tidak terikut campur dalam konflik keluarga mereka. Jalan penyelesaian masih jauh. Kes tu dah jadi kes polis. Tak sangka. Terasa macam baru semalam aku dan suami menghadiri kenduri kahwin mereka. Anak-anak pun masih kecil.Tengahari tu, aku memasak di dapur sambil kepalaku ligat mengingatkan peristiwa itu.

11 Januari 2009, pagi-pagi lagi semangkuk mee siam menjengah pintu depan rumah. Rupa-rupanya hari ini mertua Maia sekeluarga akan berpindah dari sini. Itu juadah terakhirnya untuk kami yang berstatus 'jiran-tempoh-lamanya' ini. Biarpun beralasan, namun aku tidak fikir mertua Maia akan bertindak meninggalkan sahabat handainya di sini gara-gara alasan longgar yang diberikan. Kalau ibu ada, tentu ibu akan turut kesal dan sedih dengan tindakan sahabatnya itu. Di sinilah mereka sama-sama meredah susah, memerun payah dan akhirnya perlahan-lahan melakar indah. Sayang, mertua Maia terpaksa belajar melupakan semua itu di tempat barunya nanti. Biar aku simpulkan, 'moral of the storynya' begini:

-Sebagai isteri, kita sepatutnya tahu di mana batas pergaulan kita, lebih-lebih lagi dengan lelaki.

-Sebagai anak-menantu, kita tak sepatutnya menyusahkan orang tua/mentua. Kalau boleh, elak untuk tinggal sebumbung. Apatah lagi membebankan mereka dengan tugas menjaga anak-anak kita, walaupun alasannya: suami-isteri bekerja.

-Sebagai suami, janganlah cepat melatah. Tanya dan selidik dulu masalah yang melanda.

-Sebagai lelaki, kalau nak uji kekuatan, tumbuklah dinding, lantai, batu, pokok atau sebagainya. Bukan menjadikan isteri sebagai 'pounching bag'.

0 comments: