Pages

Thursday, January 15, 2009

Lagi cerita HMSDB.

Beberapa hari lepas, akhirnya hajatku untuk ketemu seorang teman (bekas teman sekerja) kiranya tertunai sudah. Aku dan As sudah lama bekerja bawah satu bumbung. Lebih sepuluh tahun. Tapi sepanjang persahabatan, hubungan kami setakat di pejabat saja. Kami jarang berkongsi cerita personal. Kalau setakat berbual pasal anak-anak tu, ada la jugak kadang-kadang. Tapi kalau bab melepaskan geram tentang bebanan kerja, itu memang selalu huhu!

Lepas aku berhenti kerja, hubungan kami tetap berjalan seperti biasa. Kami terus berhubung melalui email dan sms. Tapi aku rasa hubungan kami tambah baik dan lebih 'ngam' sejak aku bergelar surirumah ni. Kenapa? sebab As terlalu inginkan kehidupan seperti aku sekarang. As pun sama macam aku, dah 'penat' bekerja. Dah letih sangat jadi 'transformer' yang terpaksa bertukar pendirian dan pendapat sebaik saja memulakan tugas di ofis.

As selalu cakap, dia nak jadi macam aku. Tinggal di rumah, melihat anak-anak membesar depan mata. Ah, bagi aku semua isteri/ibu yang bekerja pun punya keinginan yang sama. Namun, tuntutan kehidupan sering menidakkan kemahuan kita. Aku selalu pujuk As dengan berkata "..kalau kerja tiap2 bulan boleh tengok duit, As...!". Kemudian As rasa terhibur sikit. Itu kan perkara biasa? hidup ini kena pandai give and take. Kalau tak mahu berkompromi, sampai bila-bila pun kita rasa tak cukup dan tak puas.

Bila dapat tahu As selamat melahirkan, aku tak sabar-sabar nak menjenguk As di rumahnya. Kami bertukar panggilan di telefon, mencari waktu yang sesuai untuk bertemu. Tiba-tiba, satu hari As beritahu aku begini... "Kita ada masalah sikit. Masalah rumahtangga....".

As mula bercerita dari A-Z tentang masalah yang menggoncang keharmonian rumahtangganya. Bayangkan, dalam keadaan masih berpantang (lepas bersalin), As sudah diduga hati dan perasaannya. As jadi hilang sabar dan hampir hilang waras sebaik saja mendapat tahu suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Malam tu, sebaik saja mereka perang besar, As tak mampu fikir apa-apa lagi. As terus cabut pisau daripada pemegangnya dan terus baling ke atas meja sampai tercacak. Kata As, dia tak sabar bila Lan tuduh dia sudah gila. "Jadi, aku betul-betul nak jadi 'gila' sekarang..." cerita As terus. Aku jadi menggigil mendengarnya.

"Lepas perang besar haritu, aku terus drive balik Kedah dengan anak-anak aku. Aku dah nekad, apa nak jadi...jadilah. Biar aku dengan anak-anak terhumban masuk gaung sekali pun, aku rela...". Astaghfirullahulazim! aku mengucap. Dalam hati terbetik, Lan betul-betul ke dah tak sayangkan As lagi ni? sampai sanggup biarkan isteri dalam pantang memandu beratus batu jauhnya...?

Aku ambil keputusan untuk meneruskan saja hajat menjenguk As di rumah. As kata, aku tak usah bimbang, sebab mereka kini dalam tempoh berlakon. Buat macam tak ada apa-apa aja, pesannya lagi. Memang sungguh, sebaik saja menjejakkan kaki ke ruang tamu rumah As, kami sudah disambut dengan keriuhan Lan yang terlebih mesra menyapa kami.

Aku pandang wajah As yang jelas tak pandai menyembunyikan perasaannya padaku. Bibir As tetap tercalit gincu, biarpun matanya sedang berduka. Dalam hati berkata, bodohnya Lan membiarkan isteri secantik As hidup dalam kesengsaraan. As yang selama ini sanggup berganding bahu melunaskan kewajipan rumahtangga bersama. Dan kini, As terpaksa buang jauh-jauh keinginannya untuk berhenti kerja. Demi anak-anaknya kini, As terpaksa kerja lebih kuat.

Buatmu As, aku tak pernah lupa mendoakan kesejahteraan hati dan perasaanmu sentiasa. Aku juga berdoa semoga Tuhan cepat mempertemukan jalan keluar yang sebaik-baiknya buat kalian, amiiin.


PS: Oh ya, HMSDB tu stands for "Habis Madu, Sepah Dibuang...". Kan aku kata, sejak akhir-akhir ni aku sering terserempak keadaan seumpamanya. Maka aku tulis ia di sini supaya aku tidak lupa.


3 comments:

rapheydhillo said...

lara,
lama tak jenguk sini. Apa khabar?
sedih bila baca pasal isteri yg dipermainkan suami. Penat berkorban.. atlast semuanya macam xde makna je.
-dhill-

Iman said...

sedih macam kisah abby abadi kan........

Nazurah Aishah said...

Suami dia tu patut kena bobbit jek!!