Pages

Monday, September 20, 2010

Suka saya; ya? Suka saya; tidak?



Salam. Hari ini sudah 11 Syawal 1431H bersamaan 20 September 2010. Dan hari ini novel kedua saya ini sudah pun boleh dipesan secara online melalui web Jemari Seni.

Suka saya; Ya? Suka saya; Tidak? adalah tulisan kedua saya yang berjaya direalisasikan tahun ini, alhamdulillah. Terima kasih yang tidak terhingga buat Jemari Seni yang masih lagi terus sudi bekerjasama dengan saya. Apa pun, saya bukanlah hendak berkisah tentang novel kedua saya ini di sini. Kerana seboleh-bolehnya, saya tidak mahu langsung menyentuh tentang sinopsis/cerita ringkas novel ini. Itu janji saya pada diri sendiri. Biarlah pembaca yang merungkai dan menerokainya sendiri. Yang pasti, saya seronok ketika menulisnya. Dan saya mahu pembaca juga merasai keseronokan saya ketika membacanya.

Yang perlu pembaca tahu tentang perasaan saya ketika menghasilkan novel ini ialah; betapa saya puas sekali ketika dapat menyudahkan ayat demi ayat, perenggan demi perenggan sehingga ke muka surat terakhir. Rindunya hendak kembali menulis, DIA saja yang tahu. Menggarap watak Qisya Amni yang santun dan tertib, saya jadi insaf. Saya bagaikan terpukul untuk sama-sama mencontohi watak Qisya Amni. Saya selalu merungut, selalu menjadikan dugaan dan cubaan yang diturunkan Allah s.w.t sebagai halangan untuk saya mengucapkan syukur. Na'uzubillah. Semoga Tuhan masih terus membuka pintu keampunannya buat saya yang selalu khilaf ini.

Ketika menulis novel ini juga, saya telah berjaya mengatasi masalah anxiety disorder saya sedikit demi sedikit. Ya, saya pernah didiagnsiskan oleh doktor sebagai penderita penyakit itu suatu ketika dulu. Lebih setahun yang lalu, secara tepatnya. Kini pun masih ada, cuma saya semakin bijak melawan dan mengatasinya. Itu adalah rahmat dan itu adalah sebuah kejayaan terbesar dalam hidup saya, syukur alhamdulillah.

Masih saya ingat, ustaz yang merawat saya di Darul Syifa dahulu pernah bertanya, jika saya ada hobi atau minat tertentu dalam hidup. Saya tidak menjawab. Ketika itu saya hanya banyak mendengar dan berdiam diri. Kerana bagi saya, saya lebih tenang dan tenteram mendengar tazkirah yang diberikannya terus kepada saya ketika itu. Sukar hendak saya ceritakan, betapa enak dan lazatnya jiwa saya menerima santapan ketika itu. Lalu saya tidak berhajat untuk mencelah atau berkata apa-apa. Cuba anda bayangkan, mendengar tazkirah para ulama dan berada di majlis ilmu itu betapa amat dituntut dalam agama kehidupan kita sehari-hari. Ianya tak ubah seperti pil-pil supplementary yang selalu kita telan setiap hari itu. Risiko akan kekurangan 'zat-zat' dan 'vitamin-vitamin' itu, maka akan mudah benar sifat-sifat mazmumah dalam diri kita membiak, seterusnya imunisasi diri dan keimanan kita akan goyah, wallahualam bissawab.

Kini saya faham tentang apa yang dipesan oleh ustaz itu (saya betul-betul telah lupa akan nama ustaz yang bersih dan tenang raut wajahnya itu). Saya perlu lakukan apa yang saya sukai (selagi tidak melupakan DIA yang satu) untuk terus kekal sebagai hamba-NYA yang bersyukur dan bertenang selalu.

Kisah benar tentang saya dalam novel ini? mungkin ada. Tapi sangat sedikit yang berjaya saya aplikasikan kedalamnya. Saya bukan penulis kisah benar. Dan kehidupan sebenar saya amat tidak menarik untuk dibukukan. Saya cuma pencerita roman fiktif masyarakat yang gemar berangan-angan :)

Untuk anda pembaca yang pernah membaca novel pertama saya, mungkin lebih banyak 'rahsia' yang boleh kita kongsikan bersama dalam novel terbaharu saya ini ;) jika anda bukan pembaca novel terdahulu saya pun, anda tetap akan berkongsi rasa dengan saya melalui cara anda sendiri. Selamat membaca 'Suka saya; Ya? Suka saya; Tidak?'.

Jazakumullah khairan!

5 comments:

Mak Su said...

eh! dlm diam-diam jer...tahniah yang amat besar untuk manjalara :)

Nursuzry said...

tahniah... kak lara... ada rezeki kita jumpa. miss u so muchhhhhhhhhhhhh...

KAMATO said...

Tahniah, insyaallah akan cari buku ni

Ryn da kLavu said...

Ya saya SUKA sangat-sangat walaupun amek masa nak mulakannya, sbb saya dah terbau kesedihan dari tulisan lara yang lunak lembut itu. Saya betul-betul layan buku ini sambil golek-golek atas katil :D

ManjLara said...

Maksu ~ terima kasih.

Su ~ miss u too :)

Kamato ~ terima kasih encik.

Ryn ~ terima kasih sebab suka. sedih ke? rasanya saya dah kurangkan dosnya :)