Pages

Wednesday, October 7, 2009

18 Syawal

Harini, Harith mula menduduki PMR. Doaku tak putus-putus agar dia dipermudahkan menjawap tiap soalan. Sekarang hanya tawakal dan redha saja yang mengambil alih tugas usaha. Lepas Harith ke sekolah, kami keluar minum pagi di kawasan berdekatan. Saja ambil angin pagi di luar, dah lama sangat memerap kat rumah. Dalam perjalanan, adik lelakiku telefon, menyampaikan berita sedih. Pak Ngah Chin telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi, innalillah. Tak dengar pula dia mengadu sakit atau apa, cuma masanya saja sudah tiba dipanggil Tuhan.

Balik rumah, log-in email, ada berita manis pula menunggu. Dua penulis JS berjaya membawa novel mereka ke drama tv. Kedua penulis itu memang tak dapat dinafikan lagi bakat mereka, yang pasti bukan aku huhu! apa pun bibir terus menguntum senyum untuk kejayaan pertama milik JS ini, syabas!

Erm...apa lagi ye? teringat pula cerita semalam. Sedang enak menikmati tosei, telefon berdering, suara As dari pejabat memanggil. Sebelumnya pula, ada mesej di telefon, kiriman Nozy. Macam nak menitis air mata baca mesej dari Nozy yang penuh perhatian dan kasih-sayangnya. Thanks dear, ku amat menghargainya! Berbalik pada cerita AS dan suaminya ni, yang dulu pernah kuceritakan di blog ini. Menurut As, suaminya dah putuskan hubungan dengan kekasih gelapnya. Aku bersyukur dalam hati, akhirnya As terlepas dari belenggu siksa perasaannya. Tapi, kata As, suaminya kini dah jadi Mr. Mama la pulak! jobless, buat masa sekarang hanya menganggur di rumah, jaga anak. Hmm... apa yang boleh aku cakap buat memudahkan As? "Sabarlah As. Kalau ini dugaan seterusnya dari-NYA, you kena redha. Mungkin ada baiknya juga kalau dia yang ambil alih tugas di rumah..." kata aku, seadanya. Harap As terpujuk dan terus bersabar.


Tuesday, October 6, 2009

17 Syawal 1430

Salam 17 Syawal buat semua. Maaf, saya tak sempat balas ucapan selamat hari raya anda di sini. Pun begitu, ingatan terhadap teman-teman, baik yang baru mahupun yang lama, masih abadi di ingatan. Seminggu sebelum Ramadhan, saya ada bertemu doktor, minta nasihat. Penyakit cemas dan fobia saya makin meruncing. Di satu ketika, saya bagaikan sukar bernafas dan hampir tumbang. Anxiety Disorder; itulah penyakit yang didiagnose Doktor Siti Mastura tentang saya. Sekiranya penyakit itu menyerang, saya tiba-tiba akan berdebar-debar, cemas, gusar dan takut yang melampau sehingga hampir collapse. Selepas menerima nasihat, berbekalkan dadah berbahaya (jika disalahgunakan), saya pulang ke rumah dengan doa dan selawat yang tak putus-putus. Dalam kereta, waktu berjalan, waktu duduk, mulut saya tak berhenti terkumat-kamit. En Hubby dah puas dengar keluhan saya. Dia turut juga berdoa supaya semangat saya kembali pulih seperti sediakala.

Ah, susahnya jika penyakit orang tak nampak ni. Secara fizikal, orang melihat saya sihat walafiat saja. Apapun syukur, saya masih di sini. Masih seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, seorang kakak, seorang adik, seorang teman dan seorang hamba Allah yang terus berjalan di bumi-NYA. Sepanjang bulan Ramadhan yang baru berlalu, saya tak jemu meminta dan meminta kepada-NYA supaya semangat saya yang masih menyusukan Akil ini dipulihkan. Dadah yang dibekalkan doktor, saya telan bila perasaan cemas itu datang. Magisnya, rasa takut dan debar di dada saya terus saja berhenti sebaik saja ubat ditelan. Saya terus berasa tenang dan ceria. Esok, lusa dan tulat begitu juga. Sampai bila harus bergantung pada ubat ni? pernah hati kecil saya berdetik begitu.

Atas kesedaran sendiri, saya cuba mengawal sendiri perasaan saya. Jika cemas dan debar datang menyerang, saya bawa Akil ke rumah kakak. Pokoknya, saya harus berbual dan memastikan ada orang di sekeliling saya. Saya harus bercakap dan bercakap. Ketawa dan ketawa. Saya harus lupakan perasaan jahat yang cuba mengganggu saya. Dan begitulah seterusnya. Saya juga bergilir dengan En Hubby menunaikan terawih di masjid. Di masjid, berjemaah, dengan doa-doa kudus dari imam, saya mudah mengawal perasaan. Mudah saja saya mendapatkan ketenangan. Mudah-mudahan saya terus berupaya mengawal perasaan ini sendiri, tanpa ubat, insyaallah.

Aidilfitri, kami sekeluarga menyambutnya seperti biasa. Yang penting, anak-anak tak perlu tahu apa yang saya lalui. Persiapan raya pun, telah kami rapikan sebaik mungkin. Anak-anak hanya tahu mereka bakal beraya seperti orang lain juga. Namun, 2 Syawal, tiba-tiba perasaan itu datang semula. Semuanya gara-gara bertemu semula dengan Kak N. Hati saya tiba-tiba sedih bukan kepalang. Kecewa yang bukan calang-calang. Kak N bukan saja tak menghiraukan kehadiran saya, malah tak terusik langsung untuk meraikan Akil sebagai anak saudara bongsunya. Hanya Tuhan tahu kalimah apa yang berbicara di hati tika itu. Adakah dia masih enggan memaafkan saya? Gerimis sudah pun berkurik di hati. Kiranya, ini bukanlah wajah Aidilfitri yang saya impikan tahun ini. Namun saya redha. Sampai bila harus terus emosi? biarlah jika saya bukan saudara pilihannya lagi. Saya masih punya Tuhan. Dia akan terus bersama saya, saya pasti.