Pages

Thursday, March 22, 2012

Harith

Harith dah buktikan akhirnya! Dulu ramai kawan2 dan jiran yang memperlekeh sekolah tempat Harith belajar. Kononnya sekolah itu baru dibuka, tak ada guru2 berpengalaman, sekolah anak2 dari negara jiran, dan macam2 lagi. Tapi ibu selalu percaya apa yang Harith pilih, itulah yang terbaik untuk Harith. Sejak di tangga UPSR lagi ibu kecewa dengan prestasi akademik Harith. Waktu itu ibu salahkan diri ibu yang terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan ibu di pejabat. Ibu tahu Harith bukan anak yang culas belajar. Ibu tak pernah terima aduan dari guru tentang disiplin dan salahlaku Harith di sekolah.  Di mata ibu, Harith anak yang baik, tidak liat mengerjakan solat dan mengaji quran setiap hari. Ibu senang dengan sikap ringan tulang Harith di rumah. Lalu, mengenangkan semua itu, ibu jadi sebak memikirkan, di manakah salah anak ibu sehingga Harith begitu sukar mendapat keputusan baik dalam peperiksaan? sampai ibu tak segan silu menangis depan Harith. Di tempat kerja pun ibu menangis bila sesekali wajah Harith muncul di fikiran ibu. Kasihan anak ibu!

Kemudian ibu gariskan sempadan buat Harith, jadikan PMR penebus kekecewaan ibu nanti ya nak? Ketika Harith memilih untuk belajar di SMKSK selepas tamat darjah 6, ibu dengan abah jadi ragu. Sekolah yang sudah berpengalaman sedia terima Harith, tapi kenapa Harith tetap pilih mahu ke sekolah baru tu juga? Tapi sikap dan reaksi Harith tentang SMKSK sentiasa optimis, ibu rasa lega dan sedikit terpujuk. Tak mengapalah sekolah di mana pun asalkan Harith yakin dan selesa belajar di situ.

Tapi Allah lebih tahu, apa yang terbaik untuk hamba-NYA. DIA tidak memberikan apa yang kita mahu, sebaliknya DIA hanya memberikan apa yang kita perlu. Sekali lagi Harith gagal menunjukkan prestasi di sekolah. PMR Harith tak seperti yang ibu dan abah harapkan. Sedihnya waktu itu, hanya Tuhan yang tahu. Setiap kali terkenangkan nasib Harith, ibu menangis. Ibu tak tahu bila masanya kesedihan ibu itu terubat dengan sendirinya. Setelah melihat Harith mula bersungguh-sungguh dengan pelajaran selepas itu, barangkali. Harith tidak lagi menunggu ibu menyuruh untuk mengulangkaji, jauh sekali memaksa. Semuanya Harith lakukan sendiri. Semakin dekat dengan tarikh peperiksaan SPM, semakin sukar melihat Harith duduk membuang masa. Menonton tv dan melayari internet pun semakin jarang, malah seolah-olah tiada langsung. Dari situ itu ibu tahu, Harith benar2 bersungguh mahu buktikan sesuatu pada ibu. Sudahnya ibu pasrah saja, ibu sedia terima apa adanya Harith. Ibu sedia terima apa saja takdir yang Tuhan tuliskan untuk Harith.

Dan hari ini keputusan SPM Harith benar2 telah membuat ibu dan abah tersentuh. Pertama kali ibu melihat kewibawaan Harith sebagai anak sulung dan ketokohan Harith sebagai abang di kalangan adik-adik. Cukuplah apa yang Tuhan bagi, ibu tak mengharapkan lebih dari ini. Hari ini Harith dah buktikan, sekolah bukan penentu kejayaan seseorang pelajar. Semoga angin perubahan ini tidak berhenti menghembus semangatmu nak! Syabas dan tahniah dari ibu dan abah.

#Di mana ada usaha, di situ ada cahaya,,,

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

0 comments: