Pages

Tuesday, February 17, 2009

Ayu

Sudah lama aku nak tulis tentang Ayu. Ayu seorang anak kebanggaan keluarga. Ayu, seorang teman lama. Aku mengenali Ayu sejak aku berjiran dengan keluarganya. Abah dengan mak (arwah) pun, memang agak rapat dengan keluarga Ayu, kalau tak, takkan mak suruh kami adik-beradik berguru (mengaji) dengan ayah Ayu. Hmm..kenangan lalu, kalau diingatkan tentang Pakcik Roslan (ayah Ayu), dia memang sukakan kanak-kanak, (termasuklah aku yang dulunya bergelar kanak-kanak ini :P) jadinya, memang susah sangatlah kalau nak tengok Pakcik Roslan marahkan murid-muridnya. Oleh sebab itu, bertambahlah akrab dan sukanya kami mengaji di rumah Pakcik Roslan.

Dari situlah mulanya aku mengenali Ayu. Kalau nak diikutkan, tak perlu kena ada alasan pun, kami sepatutnya memang patut berkawan, mana taknya, umur kami agak sebaya, rumah Ayu tu pun letaknya betul-betul bertentangan dengan rumah kami. Hanya dipisahkan oleh sebatang jalan aja. Tapi keadaan tak jadi macam tu. Nak tau kenapa? sebab anak-anak Pakcik Roslan ni (lapan orang kesemuanya), teramaaaaaatlah pendiam dan pemalunya orangnya :D Lebih-lebih lagi Ayu. Mungkin disebabkan dia merupakan anak sulung, maka sikap dan kelakuannya yang pendiam itu telah turut menjadi 'contoh' buat adik-adiknya yang lain. Tapi, adik-adiknya dua yang terakhir tu, nampak lebih bersosial. Adik bongsu Ayu, Fatah, kini berkawan baik dengan Harith (anak sulung aku).

Berbalik pada kisah 'aku dan Ayu' ni, kami berkawan dan sesekali main polis entri atau galah panjang bersama. Tengok mood la, kadang-kadang Ayu boleh aja main-main di luar rumah, kadang-kadang pulak aku tengok Ayu hanya duduk di rumah mengulangkaji pelajaran aja. (Bukan macam aku, ulangkaji/buka buku kalau ada homework aja huhu!). Kerana itu juga, Ayu agak cemerlang dalam pelajaran. Sekali lagi, Ayu dijadikan role model dalam keluarga, seingat aku, adik-adik Ayu pun selalu aja dapat keputusan yang baik-baik dalam peperiksaan.

Bila umur kian menginjak dewasa, kami langsung tak berkesempatan menghabiskan masa bersama-sama lagi. Dengan keadaan Ayu yang agak control pemalu tu, tentulah dia sudah dua kali ganda pemalu lagi bila dah dewasa. Aku sendiri pun, itulah saatnya baru nak kenal rasa malu dan segan. Lepas tu, masuk form one aja, aku dah ke sekolah berasrama, lagilah aku kurang bergaul dengan kawan-kawan yang dulunya sepermainan. Lebih-lebih lagi Ayu, yang tentu saja sudah bertukar menjadi seorang gadis ultra-pemalu waktu itu!

Sekejap aja. Masing-masing sudah berkeluarga. Aku dengan empat orang anak, Ayu pula sudah masuk tiga. Yang bongsu, Amir namanya...baru lapan bulan. Kata Makcik Besah (mak Ayu), Ayu gembira amat dengan kehadiran Amir Hakimi. Amir satu-satunya anak lelaki Ayu. Ayu pula, makin menyerlahkan sikap anak sulung yang sentiasa tak lupakan tanggungjawabnya kepada ibu bapa. Sikap yang sangat terpuji. Arwah mak pernah menyebut, Ayu adalah tulang belakang keluarganya, sementelah Pakcik Roslan sudah lama bersara. Khabarnya, sebahagian besar pendapatan bulanan Ayu tetap disalurkan buat keluarga, biarpun di saat Ayu sendiri sudah ada keluarga sendiri. Ayu kiranya sudah berjaya menggenggam impiannya bilamana dia berjaya membuka dan menguruskan dua buah taska, sebagaimana yang dicita-citakannya.

Ayu masih ada sebuah lagi impian. Impian untuk mendirikan sebuah rumah yang selesa buat orang tuanya. Sedikit demi sedikit, usahanya kian terlaksana. Aku dengan jiran-jiran yang lain kini sedang menyaksikan kemungkinan itu. Syukurlah, akhirnya keluarga Pakcik Roslan akan menikmati sebuah kehidupan lebih sempurna selepas ini. Aku selalu dengar, rumah papan yang dihuni keluarga Pakcik Roslan selalu aja dinaiki air bila hujan lebat. InsyaAllah, lepas ni tidak lagi. Kerja-kerja menambak tanah sedang giat dilakukan, tak lama lagi akan terdirilah rumah impian mereka.

Pagi 30 Januari 2009. Aku dikejutkan dengan sebuah berita. Berita yang membuatkan aku termenung dan termanggu untuk beberapa ketika, sebelum aku betul-betul berjaya meyakinkan diriku. Ayu sudah tiada. Ayu sudah pergi untuk selamanya. Ayu takkan kembali ke rumah Pakcik Roslan lagi. Kiranya, bacaan Yaasin yang berkumandang dari masjid sehabis saja azan Subuh pagi itu, adalah buat Ayu. ALLAH!... aku jadi terkapai-kapai untuk sejenak.

"Ayu dah tak ada Yang..." lirih aja suara Pakcik Roslan memberitahu sebaik saja aku tiba di perkarangan rumahnya. Aku melihat wajah adik-adik Ayu yang basah lencun. Sekejap saja Allah meminjamkan Kak Yong mereka... seolah-olah itulah yang aku dengar dari mulut adik-adik Ayu yang nyata amat tergamam dengan pemergian Ayu yang mendadak. Kemudian telingaku menangkap pula suara tangisan Amir. Waktu tu, mata aku pula yang basah lencun. Melihat wajah tidak berdosa Amir, seolah-olah melihat Akil juga. Kasihan Amir, sekecil itu lagi sudah kehilangan ibu. Ayu dikatakan mengalami demam beberapa hari, hanya pada 29 Januari dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Dan ketika tiba di hospital doktor sudah mengesahkan harapan tipis untuk menyelamatkan Ayu. Denggi yang dihidapnya sudah parah. Ikhtiar terakhir doktor, Ayu sekadar mampu diberikan ubat tidur supaya Ayu bisa rehat. Pada subuh 30 Januari, jam lima pagi, Ayu menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan 'rehat'.

Sejak hari itu, keadaan di kawasan kejiranan kami agak sibuk dengan kehadiran kenderaan dari Kementerian Kesihatan. Setiap petang kawasan kami disembur dengan ubat nyamuk. Paginya pula, pihak kementerian mengirimkan pegawainya buat pemeriksaan rapi dari rumah ke rumah.

Selamat tinggal Ayu. Terima kasih untuk kenangan indah kita. Al-Fatihah!


3 comments:

CikguZue said...

sedih kisahnya. Takziah buat seisi keluarganya. kadang insan semulia itu begitu cepat dipanggil Ilahi. semoga rohnya dirahmati-Nya. aminnn...

rapheydhillo said...

lara,
saya memang tak sanggup bila baca entri macam ni.. sgt mengharukan. Bila ada kematian, saya selalu bayangkan perasaan dan nasib mereka yg ditinggalkan. Anak2 yg masih kecik.. ibubapa yg mungkin bergantung harap. Terlalu sayu.. 2 hari lepas saya menagis membaca entri nestumrasberi kat sini http://nestumrasberi.blogspot.com yang merintih akan kehilangan adik tercintanya.. bercerita tentang perasaan ibunya serta anak kepada adiknya buat hati sya sgt sayu..

dan skrg airmata saya menitis lg membaca entri lara..

Nazurah Aishah said...

Sedih!

Alfatihah buat Ayu, moga rohnya tenang disenang. Orang yang baik tidak akan dilupakan oleh mereka yang didunia.

Abang saya pernah cakap, orang baik akan mati dahulu sebab Tuhan sayangkan dia.

Semoga keluarga yang tinggal tabah dalam meneruskan hidup. Kasihan pada anak-anaknya yang masih kecil...

Alfatihah